CIQ sesak, ramai rakyat M' sia dilapor pulang


TREND kemasukan rakyat Malaysia dari Singapura dilapor menunjukkan peningkatan ketara sejak kelmarin.

Exco Johor, R. Vidyananthan berkata di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah purata kemasukan hanya 300 sehari kini meningkat melebihi 800 orang.

"Bilangan yang ramai menjadikan waktu menunggu lebih lama untuk agensi terlibat melakukan saringan dan penempatan di pusat kuarantin.

"Semalam Johor sudah mula menggunakan pusat kuarantin di luar daerah Johor Bahru dan Kulai iaitu di Kota Tinggi dan Batu Pahat bagi menempatkan mereka yang pulang dari Singapura," katanya dalam satu kenyataan.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) semalam menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung pengurusan kemasukan di kedua-dua pintu masuk itu dengan tidak lagi kuarantin di rumah bagi mereka yang mempunyai surat ujian negatif koronavirus (Covid-19) dari republik itu.

Rakyat Malaysia di Singapura yang kembali dari republik itu akan dihantar terus ke stesen kuarantin yang diwartakan kerajaan.

Memetik laporan Sinar,  Vidyananthan berkata, laporan harian stesen kuarantin yang diterima menerusi Pusat Kawalan Bencana (PKOB) negeri mendapati, sehingga jam 10 malam tadi seramai 5,816 individu ditempatkan di 46 stesen kuarantin yang sudah diaktifkan di negeri ini.

Beliau menjelaskan, jumlah terbabit melibatkan 5,732 orang awam termasuk warga Malaysia yang bekerja di Singapura, 65 pelajar yang pulang ke Malaysia dan 19 jemaah tabligh.

Daripada jumlah keseluruhan terbabit katanya, seramai 5,788 individu dikategorikan sebagai Individu Dalam Pemerhatian (PUS) manakala 28 yang lain dikategorikan sebagai Individu Dalam Siasatan (PUI).

Menurutnya, Johor turut mengikuti perkembangan kes Covid-19 di negara jiran itu berikutan jumlah keseluruhan kes kumulatif positif di Singapura kini sebanyak 12,075 kes.



Perlu Ada Permit


Sementara itu, Portal FMT dalam laporannya berkata, rakyat negara ini di republik itu yang mahu pulang ke tanah air melalui jalan darat perlu mendapatkan permit masuk daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini bermula 27 April ini.


Menurut notis umum di Facebook, pemohon perlu menghantar butiran berikut – nama, nombor kad pengenalan dan pasport, tarikh berlepas – ke e-mel stmsg@mhc.org.sg sekurang-kurangnya 2 hari sebelum tarikh berlepas.

Satu salinan pas – penduduk tetap Singapura, pas jangka panjang, permit kerja, pelajar dan lawatan sosial – perlu dilampirkan bersama.

Selepas diluluskan, Suruhanjaya Tinggi akan membalas e-mel mereka yang mengandungi nombor rujukan unik, kata portal berkenaan
Mereka kemudiannya perlu mencetak atau membuat tangkap layar e-mel itu untuk diserahkan kepada Pusat Pemeriksaan Imigresen Malaysia di Johor Bahru.

Post a comment

0 Comments