Dikriminasi bakul makanan, disimpan tidak diagih


AHLI Parlimen Cheras Tan Kok Wai mendakwa berlaku diskriminasi terhadap anggota Parlimen pembangkang dalam soal bantuan makanan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui JKM.

Dipetik laporan Malaysiakini, Tan mendakwa 750 bakul makanan yang dijanjikan kerajaan untuk golongan berpendapatan rendah di Cheras masih belum diagihkan dan terbiar di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak sejak dua minggu lalu.

"Kompleks sukan itu dipilih sebagai tempat untuk menyimpan 2,000 pek makanan. Seribu untuk Cheras dan seribu lagi untuk Bandar Tun Razak.

"Pek makanan untuk Bandar Tun Razak telah diedar lebih awal, tetapi untuk Cheras, kerana saya bukan anggota parlimen kerajaan, bahagian saya dinafikan," katanya dipetik portal itu.

Difahamkan, bakul makanan itu mengandungi beras dan barangan makanan lain, disediakan untuk diedarkan kepada 1,000 keluarga B40 di kawasan parlimennya.

Bagaimanapun, pengerusi DAP Kuala Lumpur itu mendakwa 250 bakul makanan bagi parlimennya telah diedarkan, namun beliau tidak pasti siapa yang menerimanya.

Beliau turut mendakwa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan pada Sabtu lalu telah meminta senarai 250 pemerima bantuan setelah beberapa kali pejabatnya bertanya tentang perkara itu dan pihaknya telah menghantar senarai itu semalam.

"Kami cuba menghubungi mereka sepanjang hari ini (semalam) tetapi setakat ini belum menerima pengesahan sama ada mereka akan membenarkan kita untuk mengedarkan 250 pek itu, atau mereka akan mengedarnya sendiri," katanya.

Pada minggu lalu, Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh menyuarakan kebimbangan sama dan menggesa menterinya Rina Harun agar mempercepat pengagihan di kawasan Parlimen pembangkang. Beberapa Ahli Parlimen pembangkang turut mengakui belum menerima bakul makanan yang dijanjikan itu bagi diserahkan kepada penduduk memerlukan.

Susulan dakwaan itu, Menteri terbabit, Rina Harun tampil menafikan dakwaan tersebut.

Minggu lalu, satu senarai mengandungi 54 kawasan pembangkang yang masih belum menerima bantuan yang dijanjikan itu didedahkan. 

Post a comment

0 Comments