Dr Noor Hisham umum 2 kematian, 57 kes baru


KEMENTERIAN
Kesihatan (KKM) memaklumkan, terdapat dua kes baharu kematian berkaitan koronavirus (covid-19) pada Khamis.

dengan perkembangan terbaru itu, jumlah korban wabak itu di Malaysia kini seramai 102 orang, iaitu 1.7 peratus daripada jumlah kes.

Menurut Ketua Pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, kematian ke-101 merupakan
Lelaki warga Malaysia berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah darah.

Pesakit 4,657 itu mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster PUI (pesakit bawah siasatan) Bali (iaitu kes ke-4,476). Mangsa sebelum ini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 12 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 4.14 petang, 29 April.

Manakala kematian ke-102 ialah seorang lelaki warga Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

Pesakit 5,282 itu telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 16 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.55 tengah hari.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 57 kes baru yang dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 6,002 kes.

"Daripada 57 kes baru, 25 adalah kes import, manakala 32 kes melibatkan penularan tempatan," katanya.

84 pesakit pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 4,171, atau 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula setakat ini sebanyak 1,729 kes. Sebanyak 36 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kurang empat berbanding semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 14 pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, juga kurang empat berbanding semalam.
 

Post a comment

0 Comments