Fahmi gesa mudahkan proses mohon Tabung Musaadah


PROSES
permohonan atas talian bagi Tabung Musa'adah Covid-19 dikendali Pusat Pungutan Zakat wajar diperkemas.

Ahli parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil membuat gesaan itu melalui kenyataan di Facebook semalam.

Katanya, dengan memudahkan proses tersebut, ia dapat membantu golongan yang terkesan malah terhimpit akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) sekarang.

“Saya dan pasukan telah meneliti proses permohonan secara dalam talian bagi bantuan ini, dan memohon bantuan menteri untuk pertimbang salah satu penambahbaikan berikut:

“Tambah staf untuk mempercepat proses permohonan atas talian, atau mudahkan proses permohonan agar asnaf berdaftar terus lulus dan staf yang ada boleh memproses bagi yang belum berdaftar,” katanya.

Fahmi yang juga pemimpin kanan parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengajukan cadangan tersebut secara terus kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Terdahulu, Fahmi mendakwa ramai yang sudah cuba memohon secara dalam talian pada Khamis dan pagi Jumaat mendapati laman web tersebut ditutup secara sementara.

Memetik notis daripada laman tersebut, beliau berkata kira-kira 35,000 pemohon yang telah mengisi borang tetapi laman tersebut ditutup sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Difahamkan, di bawah Tabung Musa'adah Covid-19, isi rumah dengan jumlah pendapatan bulanan kurang dari RM4,300 layak untuk mendapat bantuan sebanyak RM300.

Post a comment

0 Comments