Jumpa rangka lelaki dalam longkang lebuhraya


PEKERJA
pelenggaraan  PLUS Malaysia Bhd yang sedang melakukan kerja menaik taraf lebuh raya menemui satu rangka manusia yang masih bertopi keledar.

Rangka itu ditemui dalam longkang tengah pembahagi lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban di KM281.9 dari Bandar Ainsdale ke Nilai kira-kira jam 11.30 pagi.

Memetik laporan FMT, tiada motosikal, serpihan kaca atau kerosakan dijumpai pada penghadang jalan di lokasi berdekatan rangka itu.

Forensik menjalankan siasatan | Foto FMT
Susulan penemuan itu, sepasukan forensik dan pegawai penyiasat jenayah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah dikerahkan ke tempat kejadian.

Berdasarkan laporan polis,  mangsa dikenali sebagai Ahmad Farid Ahmad Alaudin, 19, berasal dari Durian Tunggal, Melaka.

Keluarga mangsa dipetik berkata, pada 13 Mac lalu mangsa meminta izin keluarganya untuk kampung kawan sekerja di Tangkak.

"Ayah dan ibu dengan izin melepaskan arwah pergi. Dua hari kemudian ibu telefon, tapi tak dijawabnya. Ibu bersangka dia baik-baik saja,” tulis kakak mangsa.

“Bila dah telefon kawan sekerja yang berasal dari Tangkak itu, rupanya mereka tidak jadi ke Tangkak malam itu.

“Selidik punya selidik, rupanya arwah ke Ampang seorang diri. Kawan dia di Ampang adalah orang terakhir yang jumpa dengan arwah. Lebih kurang 3 pagi, arwah gerak dari Ampang untuk balik ke Melaka, mengikut kata kawan arwah di Ampang.” tambahnya.

Beliau berkata, keluarganya membuat laporan polis pada 17 Mac lalu, sehari sebelum perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa dan memulakan usaha mencari Farid di Hospital Ampang kerana dimaklumkan mangsa mengalami kemalangan.

Selepas lebih sebulan, katanya, anggota polis dari Durian Tunggal ke rumah mereka pada 4 petang Sabtu untuk memaklumkan penemuan mayat mangsa.

Difahamkan, jenazah Farid dibawa ke Hospital Seremban untuk dibedah siasat dan dijangka dikebumikan selepas proses itu selesai.

Polis buat masa ini mengkategorikan kes itu sebagai kematian mengejut.

Post a comment

0 Comments