Kaji kebenaran solat Jumaat di zon hijau


PEMUDA
Amanah Perak mahu kajian dibuat untuk membenarkan solat Jumaat dilakukan di kawasan zon hijau wabak koronavirus (Covid-19).

Gesaan itu dibuat Pengerusi Biro Dakwah Pemuda Amanah Perak, Ahmad Saqif Ansorullah dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, sekiranya keadaan sesuai, kebenaran juga harus diberikan untuk solat berjemaah dan bertarawih, namun beliau turut mengesyorkan agar bilangan jemaah dihadkan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan ditetapkan.

"Dalam pengumuman media berhubung perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sentiasa dikemaskini, sangatlah malang kerana tiada pengisytiharan kebenaran menjalankan solat Jumaat yang hanya seminggu sekali.

"Kenapa tiada 'update' ijtihad atau perbincangan pihak Kementerian Agama dengan pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) bagi memastikan syiar Islam ini tetap tertegak?"soalnya dalam kenyataan.

Gesaan itu menyusul selepas pentadbiran Muhyiddin membenarkan beberapa sektor kembali beroperasi, malah kebenaran pergerakan dua orang satu kenderaan turut telah diwartakan.

Sementara itu, Ahmad Saqif berkata kesimbangan untuk memahami fiqh waqie amat perlu dalam menangani isu berkenaan terutama apabila Perak kini telah mencapai status zon hijau.

"Bukankan sudah berbeza 'illat' yang mana sudah ada kawasan hijau?

"Meskikah dipukul rata dengan hukum yang sama sedangkan setiap kawasan berbeza dan ada kawalan ketat keluar masuk?"

"Banyak lagi persoalan sebenarnya yang boleh membuka kembali ruang mengkaji kebenaran bagi rakyat ke masjid dengan SOP yang ketat dan sesuai, sepertimana SOP ke kedai barangan harian," jelasnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Saqif berkata, sewajarnya masjid kembali diimarahkan sebagai tanda kebergantungan kepada Allah dalam memohon perlindungan dan keampunan-Nya.

"Menteri agama, para mufti dan KKM kembalilah duduk berbincang tentang hal ini.

"Masjid boleh menyediakan alat pengukur suhu dan prosedur alatan/ tempat menjaga kebersihan (satinizer) yang sesuai.

"SOP bagaimana yang hendak diterapkan pasti dipatuhi oleh rakyat marhein seperti kami. Asalkan rumah Allah ini kembali diimarahkan," kata melalui kenyataan itu.

Post a comment

0 Comments