Keseluruhan kes koronavirus meningkat 3,662 kes



JUMLAH
keseluruhan kes berkaitan koronavirus (Covid-19) di Malaysia setakat hari ini adalah sebanyak 3,662 kes.

Jumlah itu meningkat berbanding 3,483 kes pada Sabtu susulan pertambahan 179 kes baharu seperti diumum Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah  dalam sidang media siang tadi.

Tambah Dr Noor Hisham, daripada 179 kes baru tersebut, 46 daripadanya mempunyai kaitan dengan perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur pada akhir Februari lalu.

Sementara, beliau turut memaklumkan empat lagi pesakit baru yang meninggal dunia, menjadikan jumlah korban koronavirus di negara ini kini meningkat kepada 61.

Berikut merupakan empat pesakit yang meninggal dunia seperti diumumkan siang tadi.

Kematian ke-58 (Pesakit 2,210)


Lelaki warga Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (kes ke-1031).

Dia dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 27 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 1.37 tengah hari semalam.

Kematian ke-59 (Pesakit 3,484)

Lelaki warga Malaysia berumur 68 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

Dia dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 3.40 petang semalam.

Kematian ke-60 (Pesakit 3,703)


Lelaki warga Malaysia berumur 53 tahun.

Dia dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 31 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.39 pagi hari ini.

Kematian ke-61 (Pesakit 2,200)

Lelaki warga Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Dia dirawat di Hospital Keningau, Sabah pada 26 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.36 malam semalam.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa bilangan pesakit berkaitan wabak itu yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal 99 orang. manakala pesakit ICU yang memerlukan bantuan pernafasan pula menurun daripada 50 kepada 48 orang.

Sementara itu, seramai 90 pesakit kata Dr Noor Hisham sudah pulih dan dibenarkan pulang hari ini menjadikan jumlah pesakit yang sembuh kepada 1,005 orang, atau 27.45 peratus daripada keseluruhan kes.

Post a comment

0 Comments