K'jaan Pahang didakwa politikkan bantuan Covid-19


KERAJAAN negeri Pahang didakwa telah mempolitikkan bantuan kewangan bagi membantu rakyat di negeri itu yang terjejas wabak koronavirus (Covid-19).

ADUN Semambu, Lee Chean Chung dipetik laporan Malaysiakini mendakwa, sembilan Adun dari Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak dijemput menghadiri majlis agihkan bantuan kewangan oleh Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail baru-baru ini.

Dakwaan itu dibuat selepas satu gambar yang menurutnya memaparkan hanya wakil dari Umno, PAS dan MCA menghadiri majlis agihan bantuan tersebut.

"Wakil HARAPAN tidak dijemput," katanya dipetik portal itu.

Menurut bendahari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu, tindakan kerajaan negeri itu melanggar nilai kemanusiaan serta melemahkan semangat rakyat memerangi Covid-19.

Ketika Adun pembangkang di peringkat negeri hanya menerima bantuan khas  RM3,000 setakat untuk kawasan masing-masing, Wan Rosdy dakwanya mengagihkan RM75,000 kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri tanpa pengetahuan pemimpin HARAPAN.

"Kami hanya boleh membantu penduduk di kawasan kami dengan cara kami sendiri kerana bantuan kerajaan negeri adalah terhad.

"Kita harus berjuang melawan pandemik, namun mereka memilih untuk bermain politik pada masa kritikal ini. Ini mengecewakan, " katanya.

Malaysiakini dalam laporannya berkata, kerajaan negeri Pahang yang dipetik laman Facebook memperuntukkan RM75,000, dengan bantuan tunai RM100 dan RM50 barangan asas untuk 500 penerima di setiap kawasan DUN.

Jumlah peruntukan bagi tujuan itu ialah RM3.15 juta.

Sementara itu, seorang lagi ADUN di negeri itu membuat dakwaan serupa.

Adun Bilut, Lee Chin Chen berkata, kerajaan negeri seharusnya bersikap profesional dalam mengendalikan dana bantuan kerana wabak Covid-19 menjejasklan setiap keluarga tanpa menghiraukan sokongan politik.

Susulan itu jelasnya, tujuh ahli parlimen DAP dan exco akan mendermakan 10 peratus gaji mereka selama tiga bulan bagi dana bantuan Covid-19.
 

Post a comment

0 Comments