Kumpulan profesional gesa lanjut PKP sehingga Aidilfitri


SEBUAH
kumpulan profesional menggesa agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan hingga selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Akademi Perubatan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, mereka bimbang aktiviti balik kampung secara beramai-ramai boleh memburukkan lagi penyebaran wabak koronavirus (Covid-19) yang sedang ditangani kini.

“Penarikan balik PKP atau penguatkuasaan yang terlalu longgar akan menyebabkan segala kebaikan yang telah dicapai daripada duduk di rumah selama empat minggu kebelakangan ini, menjadi sia-sia.

“Perang melawan Covid-19 masih jauh lagi, banyak pengorbanan yang telah dan akan terus dilakukan dalam tahun ini,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan semalam.

Fasa dua PKP dijangka tamat pada 14 April, manakala Hari Raya Aidilfitri dijangka jatuh pada 24 Mei. KKM dijangka menyediakan data pada 10 April, keputusan sama ada PKP akan dilanjutkan belum diumumkan.

Sementara itu tambah mereka, meskipun keinginan untuk meluangkan masa bersama sanak-saudara sempena Hari Raya adalah sesuatu yang boleh difahami, namun dalam berdepan wabak yang belum pernah dihadapi ini.

Mereka turut bimbang sekiranya arahan penjara sosial dikuatkuasa sekalipun, ia akan gagal apabila perantau yang balik beraya berkumpul di hentian serta kawasan rehat dan rawat sepanjang lebuh raya.

“Disebabkan pandemik Covid-19, penjarakan sosial perlu menjadi norma baru sekurang-kurangnya untuk satu tempoh waktu sehingga keadaan menjadi terkawal ...

“[...] Untuk tahun ini sekurang-kurangnya, perlu ada kawalan, pemantauan atau mungkin haramkan perhimpunan, sama ada perhimpunan Ramadan, Aidilfitri, atau Haji,” kata kumpulan itu.

Kumpulan profesional itu turut yang mengingatkan hal sama terhadap Pesta Kaamatan (30 Mei di Sabah) dan Hari Gawai (1 Jun di Sarawak) yang akan datang.

 

Post a comment

0 Comments