Lim Kit Siang gesa adakan sidang atas talian


SEORANG Ahli Dewan Rakyat menggesa agar sidang Parlimen kecemasan secara alam maya atau atas talian.

Lim Kit Siang, yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri Malaysia seharusnya mengambil strategi 'apa sahaja diperlukan' bukan sahaja untuk memenangi wabak Covid-19, malah menyelamatkan ekonomi negara selepas pasca wabak tersebut.

Sidang atas talian itu juga tegasnya wajar diadakan bagi membincangkan cara membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dan kesannya ke atas ekonomi negara ini.

“Kita berdepan krisis yang sangat luar biasa dan memerlukan penyelesaian luar biasa. Dalam perang melawan Covid-19, kerajaan perlu meletakkan ekonomi dalam 'koma palsu' tetapi mesti memastikan pesakit terus hidup.

"Dalam keadaan ekonomi pandemik, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek, matlamatnya bukan meningkatkan permintaan tetapi untuk membekukan ekonomi dan untuk rakyat ‘tinggal di rumah dan bertahan’,” katanya satu kenyataan.

Dewan Rakyat dijadualkan bersidang pada 18 Mei yang berkemungkinan lewat untuk kerajaan membuat perubahan legistatif kepada Belanjawan 2020.

Sementara tempoh itu, banyak pihak telah menyuarakan gesaan agar sidang khas parlimen diadakan bagi membincangkan Pakej Rangsangan Ekonomi diumum pentadbiran Muhyiddin Yasin susulan wabak yang menyaksikan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Post a comment

0 Comments