MAIPk keluar tatacara nikah ketika PKP


PASANGAN
ingin berkahwin di Perak tidak perlu khuatir untuk meneruskan Majlis akad nikah mereka.

Ia susulan keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang membenarkan acara itu dilangsungkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Shahrul Azam Shaari berkata, majlis itu hendaklah menurut mematuhi tatacara khas ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Majlis akad nikah tersebut jelasnya hendaklag dilaksanakan hanya di premis Pejabat Agama Islam Daerah dan tidak dibenarkan di premis persendirian, masjid atau tempat-tempat awam.

Selain itu, akad nikah hanya boleh dihadiri oleh seorang jurunikah, dua orang saksi, seorang pengantin lelaki, seorang pengantin perempuan dan seorang wali dari pihak pengantin perempuan.

Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau wakil perlu menyediakan sebuah bilik khas untuk majlis akad nikah, selain itu proses nyahkuman dilakukan mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

"Majlis akad nikah yang dijalankan oleh jurunikah kariah hendaklah dikawal selia oleh Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah atau wakilnya.

"Tanggungjawab mereka adalah memastikan perkara seperti rukun nikah, membaca takliq selepas akad nikah, tiada berjabat tangan ketika lafaz ijab dan qabul, menjaga jarak sekurang-kurangnya 1 meter setiap yang hadir.

"Tiada sebarang upacara lain seperti membatalkan air sembahyang, sarung cincin, bergambar dan lain-lain serta memakai penutup muka serta menyediakan pembersih tangan untuk mereka yang terlibat," katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan MAIPk lagi, dokumentasi dan pengeluaran Sijil Perakuan Nikah hendaklah ditangguhkan dan hanya akan disempurnakan selepas tamah tempoh PKP.

Post a comment

0 Comments