Majlis Presiden ulang gesaan adakan sidang khas parlimen


MAJLIS
Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) bertegas bahawa sidang khas Parlimen perlu diadakan sebelum 18 Mei ini bagi membincangkan isu penting berkaitan koronavirus (Covid-19).

Gesaan itu dibuat melalui kenyataan bersama oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng yang dikeluarkan siang tadi.

Anwar serta beberapa pertubuhan profesional antaranya Transparency International Malaysia (TI-M) sebelum ini menegaskan keperluan untuk sidang khas itu diadakan segera bagi membincangkan isu-isu antaranya mekanisma pengagihan pakej rangsangan ekonomi serta isu ekonomi dan pekerjaaan terjejas selepas pasca Covid-19.

“Sekiranya kerajaan enggan mengadakan sidang khas Parlimen, Majlis Presiden HARAPAN berpandangan sidang mesyuarat pada 18 Mei perlu diadakan sekurang-kurangnya 2 hari bagi memberi ruang kepada ahli Dewan Rakyat membahaskan isu-isu berkait wabak ini.” tegas mereka dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu HARAPAN juga berkata, Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen perlu mengadakan pertemuan segera untuk membincangkan langkah yang perlu diambil bagi menyesuaikan peraturan mesyuarat dengan nasihat dan arahan Kementerian Kesihatan dalam menjaga keselamatan petugas serta ahli Parlimen.

Ia termasuk mempertimbangkan kesesuaian mengadakan sidang Dewan Rakyat dalam talian seperti dilakukan beberapa negara lain.

“Oleh itu, kami turut mencadangkan satu pertemuan diadakan antara yang di-pertua Dewan Rakyat, wakil kerajaan dan Ketua Setiausaha HARAPAN , Saifuddin Nasution bagi membincangkan perkara ini pada kadar segera.” tegas mereka lagi.

Sebagai rekod, bagi melunaskan tanggungjawab dewan, Kerajaan negeri Kedah pada Khamis mengadakan mesyuarat DUN ketika Perintah Sekatan Kawalan (PKP) dikuatkuasakan.

Dewan turut mengambil beberapa pendekatan antaranya memastikan ahli berada dalam keadaan sihat sebelum memasuki dewan DUN dan jarak disarankan KKM dipatuhi sepanjang sidang itu berlangsung bagi mengawal penularan Covid-19.

Post a comment

0 Comments