Malaysia catat lebih 200 kes untuk kali kedua


MALAYSIA buat kali kedua catat kes positif koronavirus melebihi 200 kes dalam sehari.

Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan terdapat 208 kes Covid-19 baru dikesan setakat tengah hari semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang disahkan di negara ini ialah kepada 3,116 kes.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abullah dalam sidang medianya turut memberitahu seramai 122 pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang setakat Khamis. Ia merupakan jumlah sembuh paling tinggi dalam sehari setakat ini.

Perkembangan itu menyaksikan, jumlah pesakit yang sembuh kepada 767 kes, atau 24.6 peratus daripada keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham turut mengumumkan lima kes kematian dilaporkan setakat 24 jam lalu seperti dibawah.

Pesakit 2,909 (kematian ke-46)
Lelaki warga Malaysia berumur 37 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik dan rendah imuniti.

Beliau telah dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 28 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 11.10 malam, 31 Mac.

Pesakit 2,910 (kematian ke-47)
Lelaki warga Malaysia berumur 78 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan gout.

Beliau telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Johor pada 17 Mac dan disahkan meninggal dunia pada pukul 7.10 malam, 29 Mac 2020.

Pesakit 2,572 (kematian ke-48)
Lelaki warga Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 29 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada pukul 8.01 pagi, 2 April.

Pesakit 1,273 (kematian ke-49)
Lelaki warga Malaysia berumur 61 tahun. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (kes ke-2,107).

Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada pukul 8.36 malam, 1 April.

Pesakit 1,767 (kematian ke-50)
Lelaki warga Malaysia berumur 69 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, Negeri Sembilan pada 22 Mac dan disahkan meninggal dunia pada pukul 2.20 petang, 2 April.

Sementara itu dimaklumkan juga jumlah pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula seramai 105, lebih tiga berbanding pada Rabu.

Daripada jumlah itu, seramai 54 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, berbanding 64.

Post a comment

0 Comments