Man Raja Lawak kongsi rezeki


SIKAP ditunjukkan pelawak terkenal tanah air, Man Raja Lawak wajar menjadi contoh ikutan buat golongan artis di negara ini.

Ketika negara sedang berdepan pedemik koronavirus (Covid-19), Man atau nama sebenarnya, Abd Rahman Kasim tidak mahu mementingkan diri sendiri.

Sebaliknya, bekas posmen itu mahu sama-sama menghadapi saat getir ini bersama rakyat yang lain.

Atas dasar tanggungjawab sesama manusia, Man tanpa ragu-ragu memperuntukkan RM50,000 hasil kemenangan diraihnya pada pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 bagi tujuan amal.

“Situasi sekarang amat terkesan kepada semua warga Malaysia termasuk saya dari segi emosi dan kewangan.

“Saya sebagai warga Malaysia dengan rendah hati terpanggil untuk berkongsi hadiah wang tunai hasil juara MLM 2019 tempoh hari bagi meringankan beban anda untuk meneruskan kehidupan.

“Sesiapa yang benar-benar memerlukan bantuan sahaja yang akan saya layan dan sila DM (direct message) berikan detail (maklumat lengkap) kenapa saya harus membantu anda sehinggalah bajet 50K (RM50,000) habis digunakan sepenuhnya,” tulis Man dalam entri di Instagram peribadinya.

Terdahulu laman sosial digemparkan 'perang dingin' antara artis dengan warganet, ia susulan rasa tidak puas hati warganet terhadap tindakan beberapa artis tempatan yang mahu bantuan 'khusus' diberikan kepada mereka.

Menurut warganet, sebilangan mereka sebelum ini mempamerkan gaya hidup mewah dan menganggap permintaan itu sebagai keterlaluan dan mementingkan diri.

Tambah warganet, dalam keadaan kritik kini, golongan rakyat tidak berkemampuan wajar diutamakan terlebih dahulu.

Sementara itu, Man dalam satu kemaskininya memaklumkan, tawaran bantuan kemanusiaan yang dibuatnya mendapat maklum balas luar biasa daripada masyarakat.

Justeru, dia akan meneliti dengan mendalam setiap permohonan yang diajukan kepadanya oleh mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Andainya tiada respon daripada saya, anggap sahaja bajet 50K telah habis digunakan (membantu mereka yang memerlukan),” kata Man lagi.

Post a comment

0 Comments