M'sia catat hari kedua kes pulih melebihi kes baharu


MALAYSIA
pada hari ini mencatatkan 109 kes baru kes koronavirus (Covid-19) setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 4,228 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan hari ini merupakan hari kedua berturut-turut bilangan pesakit pulih melebihi bilangan kes baru apabila seramai 121 pesakit pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini.

Perkembangan itu menjadikan kes pulih kepada 1,608 kes, atau meningkat 38 peratus daripada keseluruhan kes di Malaysia.

"Bilangan kes discharge (pulih dan dibenarkan pulang) hari ini melebihi kes baru yang dilaporkan," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada Rabu, bilangan pesakit pulih dilaporkan adalah sebanyak 166 orang, manakala kes baharu dikesan adalah 156 kes.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham hari ini memaklumkan dua kematian membabitkan pesakit dirawat pendemik tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan kematian berkaitan wabak itu setakat ini kepada 67.

Kematian ke-66 jelasnya merupakan pesakit 2,798 berusia 59 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit autoimun dan beberapa penyakit kronik lain.

Mangsa yang mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling dirawat di Hospital Melaka pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam lima pagi hari ini.


Manakala kes kematian ke-67 melibatkan pPesakit 2,864, seorang perempuan warga Malaysia berusia 23 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit tiroid.

Mangsa mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif Covid-19 (kes 2,469 dan kes 2,470) dan merupakan kes generasi kelima kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak (tetapi bukan peserta acara itu).

Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.42 pagi hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan sejumlah 72 pesakit kini dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), sedikit menurun berbanding 76 pesakit semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 43 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, berkurang daripada 45 pesakit semalam.
 

Post a comment

0 Comments