Pakar: Basuh jalan membazir, tindakan sia-sia


OPERASI 
nyahjangkitan di permukaan jalan dan beberapa kawasan awam yang dilaksana satu kementerian baru-baru ini menerima kritikan dari beberapa pakar kesihatan.

Anggota Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor, Dr Christopher Lee berkata, tindakan itu satu pembaziran sumber yang tidak akan mencapai matlamat mengurangkan kadar jangkitan koronavirus (Covid-19) di negara ini. 

"Langkah nyahjangkitan di jalan jelas tidak akan memberi impak. Pembaziran sumber dan masa kerja.

"Langkah membersihkan permukaan yang sering disentuh akan memberi lebih kesan. Marilah (bertindak) berdasarkan bukti," kata bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan itu di Twitter.

Kenyataan Dr Christopher itu dipercayai merujuk tindakan disinfeksi oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diterajui Zuraida Kamaruddin baru-baru ini.

Beberapa pakar kesihatan sebelum ini turut membangkit kerisauan sama berhubung tindakan yang dianggap sia-sia itu.

Bekas timbalan ketua pengarah Kesihatan Dr Lokman Hakim Sulaiman turut mempersoalkan proses itu, yang antara lain melibatkan penyemburan cecair penyahjangkit secara terus ke permukaan jalan.

"Apa yang mereka lakukan? Siapa yang menasihati mereka? (Ia) benar-benar pembaziran wang. Bagaimana jalan dan susur jalan tercemar (dengan virus)? Apabila ramai orang yang dijangkiti batuk ke arahnya?

"Kalau pun permukaan jalan tercemar, bagaimana ia (virus) boleh sampai ke muka anda? Apabila orang menggosok tangan di jalan dan kemudian menyentuh muka mereka?" soalnya seperti dipetik.


BACA:
Dr Musa anggap perbuatan menteri memalukan
BACA: AMK anggap 'gimik politik', selar tindakan menteri


Tambah Dr Lokman kehadiran ramai orang untuk 'publisiti' itu sendiri sudah pun mendedahkan ramai orang kepada risiko wabak tersebut.

Sementara itu, seorang pakar virologi Lam Sai Kit berkata, jalan raya tidak tercemar atau menjadi punca jangkitan Covid-19.

Justeru, anggota terbabit katanya patut dilatih untuk membuat nyahjangkitan di tempat yang sering disentuh, seperti tombol pintu, butang di lif, dan selusur eskalator yang menjadi sumber jangkitan dan bukan diatas jalan.an.

"Daripada gambar (yang menunjukkan anggota menyembur jalan), nampaknya mereka sedang membasuh jalan," katanya seperti dipetik.

Post a comment

0 Comments