Parlimen: Fahmi Fadzil bidas kenyataan Takiyuddin


KENYATAAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan yang menidakkan keperluan mengadakan sidang Parlimen lebih lama susulan pandemik koronavirus (Covid-19) dikritik.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil melahirkan rasa kesal dan menyifatkan kenyataan Takiyuddin seperti menafikan perlunya satu strategi keluar (exit strategy) buat Parlimen Malaysia.

"Sebagai menteri bertanggungjawab ke atas Parlimen, beliau sepatutnya Ahli Jemaah Menteri pertama yang mengumumkan langkah-langkah inovatif menyesuaikan persidangan Parlimen dengan ‘kebiasaan baharu'.

"Bukannya menteri pertama yang mengumumkan setiap ahli Parlimen penyokong kerajaan bakal diberi jawatan mengepalai syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Takiyuddin berkata, kerajaan mengambil kira keselamatan semua pihak yang terlibat dalam urusan persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei depan.

Kerajaan jelasnya mempunyai pendekatan sendiri, dan tidak bersedia untuk mengambil risiko Covid-19 jika sidang diadakan.

Takiyuddin mengulas kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan baru-baru ini yang antara lain meminta persidangan Dewan Rakyat itu perlu diadakan lebih daripada sehari kerana negara lain telah membuktikan ia boleh dilakukan ketika pandemik tersebut.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Takiyuddin yang juga seorang peguam mungkin terlepas pandang bahawa Mahkamah Persekutuan juga telah mula menyesuaikan perjalanan mahkamah mulai 23 April lalu dengan mengadakan prosiding Mahkamah Rayuan disiar secara langsung dalam talian.

"Ini dilakukan bagi membolehkan orang awam untuk melihat secara langsung pendengaran kes dijalankan seperti di mahkamah terbuka dan juga memastikan akses kepada keadilan adalah berterusan.

"Apakah menteri tidak mahu memastikan akses rakyat Malaysia kepada demokrasi juga berterusan?, soal Fahmi.

Post a comment

0 Comments