Pasar Raja Bot ditutup sementara


PASAR
Raja Bot di Chow Kit, Kuala Lumpur ditutup sehingga 13 Mei bagi memberi laluan kepada proses sanitasi dan saringan koronavirus (Covid-19) terhadap peniaganya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang dipetik bernama berkata penutupan pasar itu selama 14 hari adalah atas arahan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Berikutan perintah penutupan premis untuk kerja-kerja basmi kuman dan saringan COVID-19 terhadap peniaga pasar, pasar itu diarah tutup sepenuhnya operasi dan aktivitinya.

"Arahan ini adalah selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan tertakluk kepada arahan perubahan terkini dari semasa ke semasa," katanya dalam notis arahan yang dimuat naik di Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.

Katanya notis itu adalah terpakai sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beberapa pasar sebelum ini turut ditutup bagi proses sanitasi dan saringan, ia antaranya Pasar Taman Megah SS24 di Petaling Jaya dan Pasar Besar Bahau di Negeri Sembilan.

Post a comment

0 Comments