Pemborong risau bekalan produk segar terganggu


PIHAK mewakili pemborong barangan segar di negara ini melahirkan kebimbangan bahawa bakal berlaku fenomena kekurangan bekalan makanan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP)

Presiden Persatuan Pemborong Ikan Melayu untuk Wilayah Persekutuan dan Selangor Ibrahim Mohammad berkata, sekatan itu menyukarkan orang tengah  mengedarkan ikan segar dan ramai pengedar serta pembekal runcit dakwanya telah menghentikan operasi.

Keadaan itu jelasnya turut menjejaskan pendapatan nelayan kerana kebanyakan mereka tidak turun ke laut.

“Walaupun nelayan turun ke laut, ia tidak berguna. Mereka tidak boleh menjual ikan mereka.

“Sekiranya mereka berada di Terengganu, mungkin mereka boleh jual ikan ke kampung berhampiran. Tetapi jika mereka mendapat tangkapan besar dan mahu menghantarnya ke Kuala Lumpur, itu sukar, “katanya dipetik FMT.

Beliau berkata, pemborong tidak menempah bekalan ikan yang banyak berikutan permintaan yang rendah daripada peniaga kecil, sementara permintaan untuk makanan segar juga berkurangan berikutan orang ramai memilih produk makanan dengan tarikh luput lebih lama.

Justeru  berkata, jika pengurusan bekalan makanan tidak ditambah baik, ia akan menyebabkan kekurangan bekalan sekiranya PKP akan dilanjutkan dan  menjadi malapetaka bagi nelayan dan pembekal ikan sekiranya PKP dilanjutkan ke bulan Ramadhan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur, Chin Nyuk Moi dipetik laporan sama berkata, sekatan memberi kesan terutama apabila peniaga tidak lagi datang mendapatkan bekalan di pasar borong.

“Walaupun petani menghantar hasil mereka kepada kami, ia akan membebankan kami. Buah-buahan akan rosak dalam tempoh 3 hari. Akan berlaku banyak pembaziran. ” jelasnya.

Terdahulu di media sosial, beberapa peladang dan petani cuba menjual produk pertanian mereka kepada penduduk setempat susulan kesukaran untuk memasarkan hasil tani. 

Malah peladang sayuran di beberapa kawasan antaranya Cameron Highland sebelum ini dilapor terpaksa membuang hasil tani mereka kerana tidak dapat dipasarkan.

Situasi itu bukan sahaja menyebabkan mereka sukar mendapat semula modal pusingan, malah dibimbangi memberi kesan lebih besar kepada aktiviti perladangan mereka. 
 

Post a comment

0 Comments