Pemilik ladang maut dipijak gajah lapar


SEORANG
lelaki maut dipijak gajah ketika haiwan itu dibawa keluar dari sebuah taman gajah di Chiang Mai.

Memetik laporan Bangkok Post, lelaki dikenal pasti sebagai Sa-ard Khamsrijai, 68, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Jurucakap polis berkata, terdahulu gajah betina terbabit dibawa keluar dari taman gajah berhampiran kawasan berkenaan untuk mencari makanan susulan taman gajah itu ditutup disebabkan ketiadaan pengunjung akibat pandemik koronavirus (Covid-19)

Difahamkan, gajah itu diikat pada sebatang pokok di hutan oleh penjaganya, namun terlepas dan haiwan itu kemudian memasuki kawasan kampung berhampiran.

Mangsa yang merupakan pemilik ladang sayur dipercayai terserempak gajah itu menceroboh ladangnya dan cuba menghalau, namun haiwan berkenaan dikatakan terkejut lalu menyerang mangsa.

Laporan mendakwa, kecederaan mangsa sepadan dengan kesan dipijak gajah.

Difahamkan, siasatan lanjut masih dijalankan dan polis akan mengenakan tuduhan jenayah terhadap pemilik taman gajah terbabit.

Post a comment

0 Comments