Perlumbaan F1 musim ini dijadualkan pada Julai


PENGANJUR perlumbaan Formula Satu (F1) mensasarkan perlumbaan musim ini dapat diadakan 5 Julai hadapan di Austria, kata ketua pegawai eksekutif perlumbaan itu, Chase Carey.

Ia selepas Grand Prix Perancis dibatalkan dan peminat dilarang menghadiri perlumbaan di Silverstone.

GP Perancis, yang dijadualkan pada 28 Jun, sebenarnya merupakan perlumbaan ke-10 musim ini, namun terpaksa dibatalkan atau ditunda akibat pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia.

"Kami mensasarkan untuk memulakan perlumbaan di Eropah sepanjang Julai, Ogos dan awal September, dengan perlumbaan pertama diadakan di Austria pada hujung minggu 3-5 Julai.

"September, Oktober dan November, kami akan bertandang ke Eurasia, Asia dan Amerika, menamatkan musim di Teluk pada Disember dengan Bahrain sebelum penutup tirai di Abu Dhabi, selepas menamatkan 15-18 perlumbaan," kata Carey.

Kenyataan Carey itu susulan pengumuman penganjur Perancis dan pemilik litar Silverstone di mana GP British dijangka berlangsung pada 19 Julai.

GP Perancis menyertai sembilan perlumbaan lain dalam kalendar musim 2020 yang terpaksa dibatalkan (Australia, Monaco) atau ditunda (Bahrain, China, Vietnam, Belanda, Sepanyol, Azerbaijan, Kanada). - AFP

Post a comment

0 Comments