Polis serbu lokasi proses air ketum


SEPULUH lelaki yang sedang leka berjudi dan memproses air ketum ditahan pihak polis petang semalam.

Kesemua mereka ditahan dalam serbuan di dua buah rumah berasingan di  sebuah pangsapuri di Seksyen 24, Shah Alam.

“Polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Shah Alam menyerbu dan menangkap lapan lelaki ketika leka bermain judi daun terup kira-kira jam 5.30 petang semalam,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ramsay Anak Embol dalam kenyataan.

Tambahnya, susulan serbuan itu, pihak polis menyerbu satu lagi rumah kosong digunakan untuk memproses air ketum di lokasi berhampiran turut diserbu.

Serbuan itu dilakukan atas maklumat diperolehi dari suspek.

Susulan serbuan kedua, pihak polis menjumpai bekas mengandungi rendaman daun ketum dan empat bungkus plastik sampah berisi daun ketum dan menahan dua lelaki dalam rumah terbabit.

“Polis menahan dua lelaki di rumah terbabit yang sedang memproses air ketum serta merampas dua bekas berisi rendaman dedaun dipercayai daun ketum serta tiga botol disyaki berisi air ketum.

“Rumah itu dijadikan tempat pemprosesan air ketum yang dipasarkan dengan harga RM20 sebotol,” katanya.

Menurut Ramsay,  pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan itu mula dijalankan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula iaitu 18 Mac lalu.

Difahamkan, semua ditahan berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun dan tiada rekod lampau.

Kesemua mereka disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka , Akta Racun dan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Post a comment

0 Comments