Prabakaran sahkan ada ajakan keluar parti


SEORANG
Ahli Parlimen mengesahkan beliau diajak oleh Afif Bahardin untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

P Prabakaran yang mewakili kawasan Parlimen Batu dipetik Malaysiakini sebagai berkata, beliau menolak tawaran Afif agar menyertai parti Gerakan.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ahli Parlimen termuda di Dewan Rakyat itu juga menegaskan beliau akan setia bersama KEADILAN bagi menggalas tanggungjawab diamanahkan rakyat.

"Saya tidak mahu komen lebih berkaitan isu politik, cukuplah sekadar penjelasan bahawa pendirian dan prinsip saya adalah sama dengan prinsip Keadilan.

"Sememangnya telah berlaku satu pertemuan di antara saya dan Dr Afif sepertimana yang didakwa oleh (Ketua KEADILAN perak) Saudara Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

"Saya akan kekal bersama KEADILAN demi kesinambungan perjuangan saya bersama rakyat. Saya bukan pengkhianat," tegasnya.

Sebelum ini Farhash dilapor berkata Afif, individu yang rapat dengan bekas Timbalan Presiden parti itu, Mohammed Azmin Ali 'berpura-pura'  mengenai penggantungannya dari KEADILAN.

Tegasnya  bukan lagi satu rahsia bahawa Afif mengajak Prabakaran untuk menyertai parti Gerakan sebelum ini.

Sebagai rekod, Azmin Ali, membantu kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Febuari lalu.

Ahli Parlimen Gombak itu mengetuai sekumpulan ahli parlimen  KEADILAN keluar parti, manakala Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin membawa partinya keluar daripada gabungan itu.

Mereka kemudian membentuk kerajaan bersama beberapa parti pembangkang ketika itu termasuk Umno dan PAS.

Kebelakangan ini terdapat spekulasi bahawa Azmin dan rakan-rakanya  akan mengambil alih Gerakan dan menjenamakannya semula.

Sementara itu, Prabakaran berkata sebelum pertemuan dengan Afif, terdapat juga usaha untuk mengajak beliau keluar daripada parti itu melalui beberapa pertemuan diatur oleh seorang pemimpin dalam dari cabang KEADILAN Batu sendiri.

"Semuanya bersifatkan percaturan politik. Semuanya mahu saya melompat," katanya.

Prabakaran berkata beliau mahu 'politik jijik' dihentikan dan akan terus berkhidmat kepada rakyat sehingga pilihan raya umum ke-15.

Post a comment

0 Comments