Pulau Pinang dilanda banjir kilat, ribut


PULAU PINANG
dilanda banjir kilat dalam kejadian hujan lebat dan ribut petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata, lebih 50 rumah, terutama di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dimasuki air berikutan limpahan akibat hujan lebat lebih 2 jam di negeri itu.

Beberapa buah rumah penduduk di sekitar daerah tersebut turut dilapor mengalami kerosakan.

Turut terjejas ialah beberapa kawasan di Kepala Batas, Permatang Buluh, Lahar Yooi, Nyior Sebatang, Sungai Dua, Machang Bubok, Tasek Gelugor, Simpang Ampat, Bagan Ajam, Merbau Kudung iaitu bahagian pulau dinaiki air di antara 0.1 hingga 0.4 meter.

Namun menurut Boon, setakat malam tadi tiada pemindahan mangsa dilakukan dan air banjir juga mula surut.

Sementara itu, seorang mangsa ribut di Permatang Buluh, Mohd Azhar, 45 yang dipetik laporan FMT berkata sebahagian bumbung hadapan rumahnya diterbangkan ribut dan rumah kampung setingkatnya itu juga turut dilanda banjir kilat dalam kejadian pada petang ketiga umat Islam berpuasa.

“Mula-mula hujan lebat dalam pukul 3 lebih dan saya serta keluarga memang ada dalam rumah, dalam pukul 5 petang macam tu, tiba-tiba angin kuat… lepas tu bunyi sangat kuat disusuli dengan bumbung terbang dibawa ribut.

“Kejadian tersebut sangat pantas dan saya pada masa sama, terus menjerit kepada anak-anak supaya selamatkan diri dengan berlindung di bahagian dapur, ruang tamu dah dimasuki air hujan waktu tu… Alhamdulilah, kami semua selamat,” katanya dipetik.

Jelasnya, beberapa kediaman jirannya turut mengalami kerosakan akibat ribut dan mereka bernasib baik kerana tiada yang cedera dalam kejadian tersebut.
 

Post a comment

0 Comments