Pulau Pinang mungkin pertama jadi negeri zon hijau


KERAJAAN
Pulau Pinang bakal mengisytihar negeri itu sebagai zon hijau atau sifar kes Covid-19 sekiranya tiada pertambahan kes di semua daerahnya dalam tempoh 14 hari.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata,  setakat kini negeri itutelah  mencatatkan hari ke-4 sifar jangkitan wabak tersebut.

“Saya dimaklumkan oleh pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang pagi ini berdasarkan pemantauan pelaporan kes Covid-19 untuk tempoh 14 hari bagi negeri Pulau Pinang.

“Sekiranya tiada pertambahan kes, semua daerah di Pulau Pinang akan menjadi zon hijau pada 27 April 2020,” katanya dalam sidang media menerusi laman Facebook peribadi beliau.

Bagi mencapai matlamat itu, Chow menggesa semua pihak agar terus mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga keadaan betul-betul selamat.

“Kita jangan rileks dulu. Teruskan usaha untuk mematuhi PKP sehingga kita betul-betul sudah selamat. Duduk di rumah, kurangkan pergerakan luar,” tambahnya.

Sebelum ini tiga buah negeri di utara semenanjung bakal dipertimbang untuk dikategorikan sebagai zon hijau. Selain Pulau Pinang negeri itu adalah Perlis dan Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, ketiga-tiga negeri itu, iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang mesti bebas daripada sebarang kes positif wabak itu untuk tempoh sekurang-kurangnya 14 hari.

Setakat ini tiada mana-mana negeri dalam negara ini diisytiharkan sebagai zon hijau kecuali beberapa daerah dalam sesebuah negeri.
 

Post a comment

0 Comments