Remaja menyamar tentera kena penjara 2 bulan


SEORANG
remaja lelaki dihukum penjara dua bulan kerana menyamar sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mohd Khidzir Hang Jebat, 28, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan kepadanya pada prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Mengikut pertuduhan,  Mohd Khidzir didakwa melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di sekatan jalan raya Batu 2 1/2, pada 3 petang, 21 April.

Pendakwaan mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua, Mohd Khidzir didakwa dengan niat untuk menyamar sebagai anggota ATM dengan memakai pakaian separuh seragam anggota tentera di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh mengambil kira kepentingan awam.

“Perbuatan menyamar sebagai petugas barisan hadapan adalah tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral ketika kerajaan sedang berusaha untuk membendung Covid-19,” katanya.

Majistret Wong Chai Sia bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara sebulan bagi kesalahan pertama, manakala penjara dua bulan bagi pertuduhan menyamar dan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapnya pada Selasa lepas.

Sebelum ini, satu video tular di Facebook berkenaan tindakan seorang lelaki berpakaian seragam tentera ditahan di satu sekatan jalan raya PKP di Cheras dan mengaku dirinya tentera.  Dia gagal menunjukkan kad MyTentera miliknya ketika disoal siasat.


 

Post a comment

0 Comments