Rina Harun digesa letak jawatan


AHLI Parlimen Titiwangsa, Rina Harun digesa melepaskan jawatan menteri jika "tidak serius" dalam membantu golongan sasaran di bawah kementerian itu.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman membuat gesaan itu selepas timbul cadangan kementerian berkenaan agar para isteri meniru suara Doraemon bagi memujuk pasangan yang kurang bekerjasama menguruskan rumah tangga dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Tegas Syed Badli, cadangan itu dianggap dangkal, terutama ketika isu keganasan rumah tangga mungkin meningkat sepanjang tempoh PKP.
Syed Badli Shah Syed Osman


"Cadangan itu seolah-olah mempersendakan kaum wanita yang berhadapan dengan suami yang kurang prihatin bahkan menjadi bahan lucu masyarakat umum ," katanya dipetik Malaysia kini.

Semalam, dalam siri hantaran di Instagram rasmi KPWKM, kementerian itu menasihatkan golongan wanita agar bertolak-ansur, dan tidak bergaduh atau menyindir pasangan masing-masing, termasuklah ketika meminta mereka membuat kerja-kerja rumah.

Ia termasuk satu panduan yang berbunyi:

“Jika melihat pasangan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kehendak kita, elakkan dari berleter - gunakan perkataan ‘humorous’ seperti ‘cara sidai baju macam nilah sayangku’ (tiru nada Doraemon dan diikuti dengan gelak manja!)”

Susulan kritikan ramai pihak pihak, KPWKM difahamkan telah memadam hantaran itu.

Sebelum ini, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Hannah Yeoh turut mengkritik Rina dan timbalannya, Siti Zailah Mohd Yusoff kerana "benar-benar terpisah" daripada realiti yang dihadapi oleh wanita Malaysia.

"Dalam keadaan krisis, kepimpinan politik adalah penting untuk memberi arahan kepada agensi kerajaan.

"Banyak keluarga yang sukar untuk mendapatkan makanan seharian, apalagi mempunyai wang untuk dibelanjakan untuk pakaian dan peralatan kecantikan," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu tambah Syed Badli, kementerian itu seharusnya fokus kepada permasalahan ibu tunggal yang kurang pendapatan, warga JKM yang menjadi barisan hadapan bagi memerangi Covid-19, warga tua dan juga orang kurang upaya yang memerlukan bantuan.

"Kementerian ini kini dilihat hilang fokus dan gagal mengekalkan prestasi cemerlang ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH)," kata bekas setiausaha akhbar di kementerian itu ketika diterajui Dr Wan Azizah Wan Ismail itu lagi. 
 

Post a comment

0 Comments