Status MotoGP Malaysia belum diputuskan


STATUS perlumbaan MotoGP Dunia 2020 pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) musim ini masih belum diputuskan.

Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali   susulan perkembangan pandemik koronavirus (Covid-19) yang sedang melanda dunia.

Tegas Razlan, Dorna Sports selaku promoter MotoGP Dunia sukar membuat sebarang keputusan berkenaan jadual perlumbaan berikutan situasi semasa yang semakin tidak menentu.

“SIC sering berkomunikasi dengan Dorna sekurang-kurangnya dua kali seminggu sejak penularan COVID-19 dan susah bagi mereka untuk membuat perancangan setakat ini kerana ketidaktentuan global serta kesukaran menentukan apa bakal berlaku pada masa hadapan.

“Tetapi berdasarkan perbincangan saya bersama Carmelo Ezpeleta (CEO Dorna Sports) dua hari lepas, setakat ini tiada perancangan untuk menunda GP Malaysia tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa,” katanya menerusi persidangan video hari ini.

Kejuaraan MotoGP Malaysia dijadual berlangsung November depan, Tiga perlumbaan yang dijadualkan sebelum ini di GP Qatar, GP Sepanyol dan GP Perancis terpaksa ditangguhkan susulan penularan pandemik yang telah membunuh lebih 50 ribu orang itu.

Sementara itu Razlan yang merupakan prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) berkata, hasil perbincangan bersama Dorna Sports, menjangkakan untuk menyambung semula saingan musim 2020 seawal Ogos depan.

Dorna Sports jelasnya tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan format ‘dua perlumbaan hujung minggu’ dengan bertujuan mengurangkan tempoh masa bagi melengkapkan keseluruhan perlumbaan musim ini sekiranya ia disambung pada Ogos.

Post a comment

0 Comments