Tamat PKP: Malaysia belum sedia


MALAYSIA
belum bersedia untuk menarik balik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Demikian pandangan seorang Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Datuk Dr Amar Singh HSS ketika mengulas kemungkinan PKP di negara ini akan ditamatkan dalam masa terdekata.

Menurut bekas Ketua Jabatan Pediatrik di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak itu, daripada enam kriteria untuk keluar PKP yang digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara masih mempunyai kekurangan dari segi ujian saringan, kapasiti pegawai kesihatan, pengesanan kontak dan paling ketara pemikiran masyarakat.

"Saya berpendapat perkara ini masih belum masuk ke dalam minda dan prinsip masyarakat awam berhubung langkah-langkah pencegahan. Saya percaya bahawa tidak boleh hanya 50 atau 70 peratus orang yang bertanggungjawab.

"Untuk mencegah penularan wabak ini, dalam prinsip WHO, hampir semua masyarakat perlu ikut dan sama-sama bertanggungjawab dan saya berpendapat bahawa ini masih belum masuk ke dalam fikiran masyarakat kita," katanya pada sesi webinar bar-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Amar Singh HSS berkata 33 kes positif jangkitan COVID-19 dalam kalangan pesakit Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dalam tempoh dua minggu lepas menunjukkan jangkitan virus masih berlaku dalam komuniti.

"Apa yang kita tidak faham sampai sekarang adalah walaupun dikawal, masih ada jangkitan dalam komuniti bermaksud virus itu masih merebak dari satu orang kepada individu lain dalam komuniti.

"Sekiranya kita tidak berhati-hati wabak ini akan kembali dan mungkin gelombang kedua dan ketiga akan lebih besar," katanya.

Memetik laporan bernama, Dr Amar Singh juga berkongsi garis panduan langkah pencegahan dan mengawal pergerakan murid dalam kelas dan juga di kawasan sekolahterbitan Majlis Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-Kanak (NECIC).

"Saya tidak dapat membayangkan 40 murid sekolah duduk dalam kelas bersama satu cikgu. Saya rasa itu sangat bahaya. Budak-budak itu mungkin tidak meninggal dunia atau sakit teruk tetapi mereka akan membawa penyakit itu kepada ibu bapa dan juga datuk serta nenek mereka," katanya.

Post a comment

0 Comments