Thailand lanjut perintah darurat hingga akhir Mei


NEGARA
jiran Thailand dilapor melanjutkan tempoh perintah darurat sehingga akhir bulan Mei.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat CCSA hari ini bersetuju untuk melanjutkan perintah darurat hingga 31 Mei namun mempertimbangkan untuk mengurangkan beberapa sekatan.

Thaweesilp berkata perintah darurat telah menunjukkan kesan yang baik dalam mengehadkan jumlah kes harian baharu dan melambatkan penyebaran Covid-19.

“Penangguhan akan dibentangkan kepada kabinet, Ia tertakluk kepada kelulusan kabinet,” katanya pada satu sidang media.

Tambahnya, CCSA akan membuat penilaian terhadap langkah yang diambil setiap 14 hari.

Thailand pada semalam melaporkan sembilan kes baru Covid-19 dengan satu kematian menjadikan jumlah kumulatif kes positif 2,931 dan jumlah kematian 52, manakala 2,609 pesakit telah pulih, dibenarkan keluar dari hospital dan 270 masih menerima rawatan.

Ia adalah angka terendah sejak 7 Mac, dan tiada jangkitan tempatan baru di Bangkok sejak penularan wabak itu dikesan pada Januari lepas.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) meneruskan larangan kemasukan penumpang dari luar negara kepada 31 Mei.

Dalam satu kenyataan Ketua Pengarah CAAT Chula Sukmanop berkata bagaimanapun larangan tidak dikenakan ke atas pesawat negara atau tentera, pendaratan kecemasan, pendaratan teknikal tanpa penumpang turun, penerbangan kemanusiaan, perubatan atau bantuan, penerbangan penghantaran pulang dan kargo.

Menurut beliau, penumpang yang tiba dengan penerbangan dikecualikan, perlu mengambil langkah di bawah peraturan kawalan penyakit iaitu menjalani kuarantin wajib 14 hari dan mematuhi peraturan di bawah dekri darurat.

Post a comment

0 Comments