Tik Tok: Kementerian dianggap 'mati akal'


PENGANJURAN pertandingan video pendek TikTok oleh Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Noraini Ahmad ketika negara berdepan pandemik koronavirus (Covid-19) dikritik banyak pihak.

Selain warganet, pertanding itu turut dikecam aktivis dan ahli politik di negara ini.

Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Ahmad Farhan Rosli merupakan antara yang meluahkan rasa kesal dan kecewa. Beliau menyifatkan kementerian dibawah Ahli Parlimen Parit Sulong itu seperti “mati akal”.

Tegasnya, KPT wajar menggalakkan aktiviti lebih bermanfaat seperti membaca, menulis, menganalisis, bukannya menyebarkan budaya hedonisme.

“PKPIM juga berharap pihak KPT agar bersiap sedia menghadapi implikasi selepas wabak ini selesai.

“Implikasi ini terkait permasalahan kesihatan mental akibat berlakunya proses pembatasan sosial yang lama dan masalah pengangguran dan kebolehpasaran graduan kerana ketidakstabilan ekonomi yang dijangka melanda dunia yang bakal menyebabkan peluang pekerjaan merosot akibat daripada pandemik ini,” kata dipetik.

Noraini semalam memuat naik hantaran poster dan video pertandingan TikTok di media sosialnya.

Namun selepas dikritik teruk, hantaran mempromosi pertandingan itu dipadamkan.

Sementara itu, eStiausaha pemuda Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Firdaus Hamdan turut membidas penganjuran pertandingan itu. Beliau turut mempersoalkan hala tuju yang ingin dipacu Noraini dalam pembangunan generasi muda di negara ini.

“Adakah serendah itu pemikiran seorang menteri? Adakah tidak ada pertandingan lain yang boleh dianjurkan oleh kementerian? Apakah kementerian berbangga dengan usaha menarik minat anak muda dengan TitTok?” soalnya.

Pandangan sama turut diutarakan Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Menurutnya penganjuran pertandingan TikTok itu sebagai amat 'memalukan' terutama ketika promosi mengenainya dilakukan ketika umat Islam di negara ini sedang menyambut malam Nifsu Sya'ban.

“Inisiatif penganjuran 'TikTok Contest' semalam adalah tidak masuk akal.

“Saya agak terkejut. Di malam Nisfu Sya'ban, menteri pengajian tinggi isytiharkan untuk mahasiswa ber-Tiktok pula!

“[...] Apabila Noraini atas kapasiti seorang menteri yang menerajui Kementerian Pengajian Tinggi memilih untuk mengajak mahasiswa ber-TtikTok, bagi saya ini tidak cocok sama sekali. Ini amat memalukan,” katanya dalam satu kenyataan.
 

Post a comment

0 Comments