Tujuh negeri dan 1 wilayah catat sifar kes Covid-19


TUJUH
negeri dan satu wilayah merekodkan sifar kes positif baharu wabak koronavirus (Covid-19) semalam.

Kawasan terbabit ialah negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Memetik laporan Sinar,  Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan turut mencatatkan sifar kes pada Sabtu termasuk Putrajaya dan Melaka.

Bagaimanapun, Melaka semalam merekodkan jumlah kes positif tertinggi iaitu sebanyak 37 kes setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu melibatkan kumpulan pelajar Malaysia yang pulang dari Magetan, Jawa, Indonesia.

Hal sama turut berlaku bagi kawasan Wilayah Persekutuan Putrajaya apabila keseluruhan 43 pelajar dari Indonesia yang dikesan positif itu, sembilan daripada mereka dikuarantin diPutrajaya.

Setakat jam 12 tengah hari 18 April 2020, terdapat 19 Zon Hijau di Semenanjung manakala 17 Zon Hijau di Sarawak dan 11 Zon Hijau di Sabah.

Kuala Lumpur merupakan satu-satunya wilayah di mana semua empat zonnya masih berada dalam Zon Merah.

Media sebelum ini melaporkan, tiga negeri di utara semenanjung iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang berkemungkinan dapat diisyhtihar sebagai zon hijau sekiranya tiada kes baharu direkodkan dalam temph 14 hari.

Buat masa ini tiada mana-mana negeri di negara ini dikategorikan sebagai zon hijau. 

Post a comment

0 Comments