Umat Islam mula berpuasa esok


UMAT
Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok, Jumaat 24 April 2020.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari tersebut menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebentar tadi.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada hari ini bersamaan 29 Syaaban 1441 Hijrah.

Jawatankuasa berkenaan melihat anak bulan Ramadan di 15 kawasan terpilih ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan itu juga, Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab.
 

Post a comment

0 Comments