Zoo negara rayu sumbangan warga prihatin


PERINTAH
Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lepas, turut memberi impak kepada Zoo Negara.

Ketiadaan pengunjung sejak PKP dilaksanakan telah menjejaskan hasil penjualan tiket masuk, sewaan tempat acara, tajaan syarikat dan sumbangan orang ramai kepada taman haiwan itu.

Kini mereka merayu lebih banyak pihak dapat membuat sumbangan bahan mentah dalam bentuk daging, sayur-sayuran dan buah-buahan untuk menampung keperluan bekalan makanan di taman haiwan itu sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

“Makanan utama iaitu daging, sayur dan buah amat diperlukan dengan jumlah yang banyak untuk bekalan makanan haiwan jenis herbivor dan karnivor di zoo ini. Kami mengalu-alukan sumbangan pihak luar pada ketika ini,” kata Pegawai Zoologinya Wan Noor Hayati Wan Ab Aziz.

Sabtu lalu, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly Ahmat Lana berkata Zoo Negara terpaksa menggunakan tabung kecemasannya.

Tabung kecemasan tersebut yang hanya mampu menanggung kos operasi untuk tiga bulan diwujudkan khusus oleh pihak pengurusan Persatuan Zoologi Malaysia (MSZ) untuk keadaan seperti di luar jangka.

Zoo Negara sebelum ini turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai dengan menyertai kempen 'Adopt An Animal'.

kempen itu adalah pakej yang dilaksanakan oleh kebanyakan zoo di seluruh dunia bagi menambahkan pendapatan bagi belian bekalan makanan, ubat-ubatan dan kebajikan haiwan-haiwan.

Orang ramai atau pihak luar yang ingin menyalurkan sumbangan berbentuk bahan mentah boleh terus e-mel ke veterinar@zoonegaramalaysia.my atau sumbangan wang tunai melalui https://www.zoonegaramalaysia.my/adopt.html.
 

Post a comment

0 Comments