4 etnik Rohingya disyaki dalang seludup manusia ditahan


EMPAT lelaki warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana disyaki bertindak sebagai dalang dalam penyeludupan 202 etnik Rohingya ke negara ini

Timbalan Pengarah Operasi APMM Kedah dan Perlis Kapt Maritim Zulinda Ramly berkata, empat suspek berumur 24 hingga 53 tahun itu ditahan secara berasingan pada Ahad di Simpang Empat dan Kota Sarang Semut, di sini serta di daerah Pendang, Kedah.

Penahanan suspek itu yang dipercayai ada kaitan dengan pendaratan etnik itu di perairan Langkawi pada 5 April lepas berdasarkan hasil maklumat daripada dua lelaki warganegara sama yang telah ditahan sebelum.

“Kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam sidang media di Alor Setar.

Menurutnya, APMM masih memburu dua lagi suspek yang telah dikenal pasti menjadi dalang utama mengatur kemasukan pendatang asing khususnya etnik Rohingya ke negara ini.

Zulinda berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan penglibatan rakyat tempatan dalam sindiket itu.

Pada 5 April lalu, 152 lelaki, 45 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan etnik berkenaan ditahan APMM.

Mereka dikesan diatas sebuah bot hanyut di 1.2 batu nautika barat daya Pantai Peranginan Resort Ritz-Carlton, Langkawi.

Kesemua yang ditahan dan diserah kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan seterusnya

Post a comment

0 Comments