8 bekas presiden Majlis Peguam kritik DNAA Riza Aziz


KEPUTUSAN mahkamah Sesyen yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) anak tiri Najib Razak, Riza Aziz daripada pertuduhan pengubahan wang haram dikritik lagi.

Lapan bekas  presiden Majlis Peguam Malaysia melalui satu kenyataan bersama menyifatkan keputusan itu sebagai “membingungkan” kerana ia tidak ada alasan kukuh yang dibekalkan.

“Maklumat yang ada setakat ini memberikan gambaran tidak terdapat alasan yang kukuh untuk menarik balik pendakwaan dan tidak meneruskan pendakwaan,” kata mereka seperti dilapor Malaysiakini.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Zainur Zakaria, Kuthubul Zaman, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Lim Chee Wee, Christopher Leong dan Steven Thiru.

Tambah mereka, persetujuan itu menggambarkan seseorang tertuduh boleh lepas jika sedia membayar balik sebahagian daripada perolehan yang diperoleh secara tidak sah.

Riza Aziz sebelum ini dituduh dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang dikaitkan dengan dana 1MDB.

Bagaimanapun pada 14 Mei lalu Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan untuk DNAA susulan beberapa representasi difailkan tertuduh terhadap pertuduhan dihadapinya.

Keputusan itu bergantung kepada pematuhannya terhadap persetujuan untuk memulangkan jutaan ringgit wang kerajaan yang didakwa berkaitan dengan lima pertuduhan terhadapnya.

Sebelum ini, bekas Peguam Negara, Tommy Thomas menafikan beliau terlibat dalam memberikan kebenaran kepada pembebasan itu berikutan dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau terlibat.

Tindakan itu turut dikritik beberapa pemimpin termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkanya sebagai 'curi 10 ayam,bayar balik seekor'

Post a comment

0 Comments