9 warga asing lari dari pusat kuarantin Covid-19


SEMBILAN warga asing melarikan diri dari dari Pusat Kuarantin Covid-19 di Institut Pendidikan Guru Kampus (IPG) Bahasa Antarabangsa di Petaling Jaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima 3 laporan polis dibuat penolong pegawai perubatan yang bertugas di pusat kuarantin berkenaan.

“Dalam ketiga-tiga kejadian tersebut, 6 lelaki warganegara Indonesia dan 3 lelaki warganegara Bangladesh yang bekerja sebagai buruh pembinaan didapati melarikan diri.

“Kejadian disedari sewaktu pengadu dan doktor yang bertugas membuat rondaan memeriksa pesakit yang dikuaratinkan di pusat kuarantin tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mazlan, usaha mengesan semula warga asing itu sudah dilakukan,  namun gagal untuk menemui kesemua lelaki berkenaan.

“Kesemua mereka sudah menjalani saringan Covid-19 dan didapati negative, namun perlu dikuarantin bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

Kesemua mereka dipercayai melarikan diri dari pusat kuarantin itu melalui pagar yang dirosakkan.

“Kawasan pagar dirosakkan dan dipercayai menjadi laluan warganegara asing tersebut melarikan diri turut dipasang ‘concertina barb wire’ dan lampu bagi mengelakkan individu dikuarantin melarikan diri,” jelasnya.

Menurut Mazlan, kes disiasat bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 (Akta 342).

“Orang ramai diminta tidak panik dan terus mengamalkan langkah pencegahan yang disarankan oleh KKM dalam menghadapi ancaman jangkitan Covid-19 ini,” tambahnya.

Post a comment

0 Comments