Adakah tertuduh lain juga mungkin bebas? - Armada


PEMUDA
Bersatu (Armada) melontarkan pertanyaan apakah individu lain terlibat dalam kes rasuah berprofil tinggi dan sedang dibicarakan akan dibebaskan jika mereka membayar wang penyelesaian.

Persoalan itu timbul susulan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) anak tiri Najib Razak, Riza Aziz dari pertuduhan dihadapi mereka baru-baru ini.

"Adakah tindakan ini merupakan gambaran kepada nasib kes-kes perompak lain seperti Najib Razak, Rosmah Mansor, Azeez Rahim dan Zahid Hamidi, di mana jika mereka berjaya membayar sekian jumlah, mereka dibebaskan tanpa sebarang hukuman yang dilihat sebagai wajar?" Soal Armada dalam satu kenyataan oleh Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Riza sebelum ini berdepan 5 tuduhan pengubahan wang haram yang turut dikaitkan dengan penyelewengan dana milik syarikat kontroversi 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam kenyataan serupa, Armada turut menbidas kenyataan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan mengenai kes Riza.

"Kenyataan Takiyuddin bahawa perkara ini adalah tindakan mengikut undang-undang adalah sangat tidak murni terutama  apabila rakyat mula membandingkan dengan kes-kes kecurian lain.

"Kes seperti curi sardin dan tin milo dikenakan tindakan penjara tetapi perompak berbilion duit rakyat Malaysia dilepaskan tanpa sebarang hukuman penjara hanya dengan mengembalikan sekitar 40 peratus jumlah asal yang dituntut Kerajaan Malaysia.

"Armada ingin menteri yang dilihat bertanggungjawab dalam hal undang-undang untuk menerangkan menggunakan prinsip perundangan dan tidak terlalu mempertahankan diri apabila soalan itu bukan hanya datang dari Dr Mahathir Mohamad tetapi juga dari jutaan rakyat Malaysia," kata mereka.

Media sebelum ini melaporkan, Riza dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan itu dengan syarat memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta)

Jika gagal mematuhi perjanjian tersebut, maka pendakwaan berhak untuk mengenakan semula pertuduhan tersebut dan mendakwanya di mahkamah.

Post a comment

0 Comments