Adun DAP peruntuk RM80 ribu agih sumbangan Ramadan


BAGI
meringankan beban penduduk yang berdepan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) termasuk ketika bulan Ramadan, seorang ADUN memperuntukkan lebih lebih RM80,000 utk mengagihkan sejumlah 1,900 hamper.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo mengagihkan semua hamper itu kepada penduduk di kawasan DUN yang diwakilinya sejak Ramadan baru-baru ini.

Hamper tersebut berupa keperluan barangan makanan asas dan diagih secara berperingkat kepada beberapa golongan memerlukan iaitu kariah masjid sebanyak 700 hamper, ibu tunggal (800) dan keluarga memerlukan (400).

Sebanyak lima kariah masjid dan dua buah surau pula menerima 100 buah hamper masing-masingnya untuk diagihkan kepada penduduk sekitar yang memerlukan.

“Kita sedar sejak wabak Covid-19 ramai yang terkesan, malah ada juga keluarga yang dulunya M40 kini menjadi B40 akibat kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

"Justeru bantuan makanan asas ini walaupun tidak seberapa tetapi diharap dapat meringankan beban mereka yang terkesan di KADUN Datuk Keramat,” ujarnya di satu majlis di Masjid Shaik Eusoff.

Pada majlis yang sama, Jagdeep yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa menyambut baik inisiatif yang didokong pihak kariah masjid berkenaan dalam mempraktikkan sistem pintar bagi mengumpul data penduduk kampung mengikut kategori pendapatan.

“Ini adalah salah satu contoh terbaik yang boleh diikuti, diharap pengurusan MPKK lain di KADUN Datuk Keramat dapat mencontohi inisiatif ini yang ternyata membantu memudahkan urusan,” ujarnya.

Yusoff ketika berucap memaklumkan pihaknya (kariah masjid) telah memulakan pengumpulan data penduduk kampung secara online berbanding manual sebelum ini.

“Apabila berlaku saja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memerlukan kita mengagihkan sumbangan, pihak kariah terus dapat mengenalpasti mereka yang memerlukan mengikut data yang telah dikumpul sebelum ini.

“Ia amat memudahkan pihak kami, penduduk kampung hanya perlu imbas QRCode yang tertera di masjid lalu memasukkan data yang diperlukan secara online,” jelasnya dipetik laporan Buletin Mutiara.

Post a comment

0 Comments