ADUN Rawang nafi spekulasi portal Umno


SPEKULASI
kononnya, ADUN Rawang Chua Wei Kiat bakal mengosongkan kerusi dewan undangan negerinya untuk membuka jalan kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi menteri besar Selangor yang seterusnya merupakan satu pembohongan.

Perkara itu didedahkan sendiri Chua menerusi akaun Facebook.

Tambahnya, spekulasimengenai perkara itu timbul susulan satu tulisan di “blog Umno” namun tidak menamakan secara khusus blog berkenaan.

“Konteks artikel tersebut tidak benar. Parti kini menumpukan isu persekutuan dan masalah disiplin dalam parti. Tidak ada perbincangan mengenai perkara itu (yang dinyatakan dalam berita).

“Berita tersebut disiar dalam blog Umno jadi kredibiliti berita tersebut dipersoalkan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan untuk terus mematuhi sebarang arahan parti.

“Pendirian saya tak pernah berubah. Masa depan negara lebih penting dari masa depan saya. Saya akan patuh apa sahaja keputusan yang dibuat parti,” katanya.

Memetik laporan Malaysiakini, Chua memberitahu Malaysiakini bahawa isu pilihan raya kecil (PRK) Rawang itu agak janggal memandangkan tumpuan kini adalah terhadap Putrajaya.

Semalam, bekas pegawai khas Najib Razak, Isham Jalil, mendakwa bahawa terdapat “perbincangan” dengan wakil KEADILAN Selangor yang akan meletak jawatan bagi membuka jalan kepada Anwar untuk bertanding pada pilihan raya kecil lalu menerajui negeri itu.

Ahli Umno itu juga mendakwa bahawa ini terjadi kerana Menteri Besar Selangor Amirudin Shari adalah sekutu dengan bekas timbalan presiden parti itu Azmin Ali yang merupakan seteru politik Anwar.
 

Post a comment

0 Comments