Ahli parlimen gesa siasat audio beri 'habuan'


SEORANG
pemimpin DAP menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan wujud tawaran jawatan dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada pemimpin Umno.

Ramkarpal Singh berkata tawaran itu jika benar, ialah satu bentuk rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Jika rakaman itu terbukti tulen, ia mungkin menyebabkan mereka yang menawarkan dan mereka yang terima rasuah itu didakwa di mahkamah kerana terbabit dalam amalan rasuah,” kata Pengerusi Biro Undang-undang DAP itu dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, satu rakaman suara perbincangan untuk menarik pemimpin Umno menyertai Bersatu tular.

Dalam rakaman suara yang dikatakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu, seorang individu yang suaranya didakwa mirip Muhyiddin Yasin didakwa “memberi galakan” kepada pemimpin parti itu

“Saya katakan ada 30 lebih yang Umno sekarang ini. Boleh tak kita jumpa dan cakap dengan mereka, ‘kami akan membentuk kerajaan, jadi kenapa tidak anda datang dan sertai Bersatu’.

“Kalau Bersatu sudah 30 (kerusi Parlimen), campur 10 daripada Umno sudah 40. Kita adalah parti yang terbesar. Kalau kita ambil sorang-sorang, mungkin ada di antara mereka, terutama kalau mereka ada tawar tawaran tertentu. Jadi kenapa tidak,” kata individu dalam rakaman itu.

Mesyuarat itu didakwa berlangsung pada 23 Febuari, sebelum berlakunya “langkah Sheraton” yang menyaksikan ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak yang sebelum ini bertelagah berhimpun di sebuah hotel.

Pertemuan itu kemudianya disusuli kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang pimpinan Pengerusi parti itu sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, kesahihan suara itu milik Muhyiddin masih belum disahkan.
 
Lantikan pemimpin PN ke GLC


Sementara itu,  Ramkarpal berkata, tawaran jawatan menteri atau GLC kepada ahli Parlimen dalam pentadbiran Muhyiddin “nampaknya berlaku sejak PN mengambil alih kerajaan”.

Tindakan itu yang dilihat “konsisten dengan apa yang dikatakan dalam rakaman itu” menguatkan kemungkinan rakaman itu adalah tulen.

“Rakyat berhak tahu jika rakaman itu tulen dan sama ada ahli Parlimen dalam PN ditarik untuk menyertai PN, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan PH dipilih secara demokratik.” tegas Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu lagi.

Post a comment

0 Comments