Ahli Parlimen KEADILAN nafi laporan akan keluar parti


AHLI
Parlimen dari KEADILAN, Steven Choong Shiau Yoon menafikan akan keluar parti seperti digembar gemburkan beberapa portal sebelum ini.

Choong yang mewakili rakyat Tebrau berkata, dakwaan yang mengatakan dia kononnya akan menubuhkan NGO 'Gerakan EkoSosial' sebagai "strategi keluar" dari parti itu sebelum dikatakan akan menyertai Gerakan sama sekali tidak berasas.

Malah beliau terus setia memegang mandat rakyat apabila  menolak jawatan menteri kabinet "dari pihak lain" ketika kerajaan pusat bertukar pada Mac lepas.

"Saya kecewa dalam beberapa hari terakhir ini, kerana ada kenyataan yang secara khusus menyebut nama saya dan dua yang lain, bahawa kami telah menubuhkan NGO sebagai strategi keluar dari KEADILAN.

"[...] Semasa kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan ... saya malah menolak tawaran jawatan menteri penuh dari pihak lain. Oleh itu, saya tetap komited untuk melayani rakyat, cita-cita keadilan sosial dan agenda reformasi untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Choong yang diramalkan pada awalnya akan menyertai kumpulan Azmin meninggalkan parti itu terus kekal bersama HARAPAN dan  tidak 'melompat' ke PN turut mendakwa desas-desus mengenai perkara itu didalangi seteru politiknya di parlimen Tebrau dan parti-parti politik yang lain.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa NGO yang ditubuhkan pada Mac lalu adalah untuk mengumpulkan sumbangan dan merekrut sukarelawan bagi memberikan perkhidmatan di kawasannya setelah kejatuhan kerajaan persekutuan dikuasai Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Sebuah NGO bernama 'Gerakan EkoSosial'' ditubuhkan pada bulan Mac 2020 untuk membantu kami mengumpulkan dana serta merekrut sukarelawan untuk bekerja.

"Hantaran posting yang mengaitkan saya dengan tuduhan bahawa ini dilakukan sebagai strategi keluar bagi saya dari KEADILAN adalah tidak berasas dan tidak benar," katanya.

Post a comment

0 Comments