Ahli Parlimen persoal sumbangan diterima Menteri


SEORANG
Ahli Parlimen dari KEADILAN mempersoal sumbangan  diberikan sebuah syarikat pemaju kepada NGO yang didakwa dinaungi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Melalui satu kenyataan media, Akmal Nasir merujuk kepada beberapa keping gambar menunjukkan individu mirip Zuraida menerima penyerahan replika cek (mock cheque) bernilai RM 1 juta bertarikh 7 Mei 2020 kepada NGO Pengerak Komuniti Negara (PKN).

Memetik laporan Malaysiakini pula, gambar itu dilapor telah dimuat naik di akaun Instagram Zuraida pada Selasa lalu. Bagaimanapun, hantaran itu didakwa kini telah pun dipadam.

"Adakah benar YB Zuraida hadir dalam program tersebut dan menerima sendiri replika cek RM 1juta?

"PKN (sebelum ini dikenali sebagai Penggerak Muafakat Nasional yang menggunakan logo ZK) merupakan sebuah NGO yang kononnya membuat kerja-kerja sumbangan dan kebajikan, tetapi juga mengangkat Ahli-Ahli Parlimen yang mengkhianati parti KEADILAN," kata Akmal.

Menurut Akmal lagi, semakan di laman sesawang KPKT menunjukkan bahawa syarikat terbabit telah disenaraikan sebagai pemaju yang gagal membayar kompaun.

Malaysia kini pula dalam laporan mereka mengesahkan dakwaan Akmal dengan berkata semakan menunjukkan setakat 8 Mei lalu, pemaju berkenaan masih disenarai hitam kerana gagal membayar kompaun.

Bagaimanapun menurut portal itu lagi, semakan semalam mendapatinya dokumen berkenaan telah dikemaskini "pada 15 Mei", di mana syarikat itu tidak lagi berada dalam senarai tersebut.

"Sekiranya gambar tersebut benar, kedudukan Zuraida sebagai Menteri KPKT menimbulkan persoalan mengenai kepentingan peribadi (conflict of interest) apabila NGO yang mengangkat gerak kerja politik beliau dan kumpulannya menerima sumbangan jutaan ringgit daripada syarikat pemaju hartanah," katanya.

Susulan itu Akmal yang juga ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahu Zuraida memberikan penjelasan dan minta perkara itu disiasat.

"saya mendesak agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat meneliti perkara ini dan memulakan siasatan yang sewajarnya dengan segera," tegasnya.

Post a comment

0 Comments