Ahli Parlimen Sri Aman nafi sokong Muhyiddin


SEORANG Ahli Parlimen Sarawak semalam menjelaskan pendirian menyokong pembangkang, namun terpaksa duduk di kerusi diperuntukan bagi pihak kerajaan di Dewan Rakyat.

Masir Kujat (Sri Aman) membuat penjelasan mengenai  tempat duduknya sambil menegaskan tidak menyokong pentadbiran Muhyiddin Yasin atau kerajaan negeri Sarawak.

"Oleh kerana tempat duduk itu telah ditetapkan, saya tidak mempunyai pilihan selain duduk di tempat yang ditetapkan untuk saya.

"Saya ingin menjelaskan bahawa saya adalah anggota majlis presiden PSB dan PSB adalah parti pembangkang di peringkat persekutuan dan negeri.

"Saya tidak seharusnya diatur oleh speaker untuk duduk dengan barisan ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) kerana PSB tidak menyokong PN," tambahnya.

Penjelasan Anggota Parti Bersatu Sarawak (PSB) itu sekaligus mengurangi bilangan kerusi yang dikira sebagai menyokong Muhyiddin.

Berdasarkan pelan tempat duduk di Dewan Rakyat yang dikeluarkan oleh kakitangan parlimen,  seramai 114 ahli parlimen (termasuk Masir) duduk di blok kerajaan.

Bagaimanapun bilangan sebenar penyokong pemimpin Bersatu itu yang membawa keluar partinya dari Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak diketahui kerana belum teruji.


Sementara itu, Setiausaha Agung PSB, George Lo berkata adalah tidak tepat untuk mengatakan PSB adalah parti komponen gabungan GPS.

"Ini tidak betul sama sekali. Kami tidak sokong GPS.Pada PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang kami akan bertanding di 65 kerusi menentang GPS.

"PSB akan menjadi alternatif kepada GPS untuk rakyat Sarawak," katanya dipetik laporan sebuah portal berita.

Post a comment

0 Comments