Amaran ADUN jadi kenyataan, PN gagal kawal harga barang


AHLI
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal menjamin isu bekalan makanan sehingga menyebabkan harga ayam dan sayur kini meningkat di pasaran.

Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata demikian melalui satu kenyataan sambil merujuk peningkatan harga barangan yang dilapor berlaku di beberapa negeri baru-baru ini.

Sebagai contoh, katanya, di Kota Bharu, harga ayam mencecah RM7 sekilogram berbanding RM3 sekilogram sebelum ini, manakala di Kedah pula, harga sayur seperti cili, tomato, kacang buncis dan daun sup naik antara RM1 hingga RM3 sekilogram.

Katanya, keadaan yang sama dilaporkan di Perak dan Selangor.

Lee berkata, amarannya yang menegur sikap tidak serius kerajaan dalam menangani jaminan makanan negara pada April lalu menjadi kenyataan, memandangkan tiadanya pelan tindakan menggunakan Dana Jaminan Makanan bernilai RM 1 billion.

“Kegagalan kerajaan dalam menangani masalah rantaian bekalan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) telah mengakibatkan petani mengambil tindakan mengurangkan hasil pertanian.

“Kini, permintaan barangan basah masih sama ataupun akan meningkat menjelang musim perayaan,” tegasnya.

Beliau turut mendakwa kenaikan kos sewa tanah pertanian di Cameron Highlands sebanyak 500 peratus pada Februari lalu, juga menambah beban petani dan secara tak langsung mengakibatkan kenaikan harga sayur-sayuran.

Katanya, keadaan diburukkan lagi dengan kemerosotan kuasa beli rakyat, memandangkan ramai yang kini menganggur akibat hilang pekerjaan ataupun gaji mereka dipotong.

Justeru, Lee menggesa kerajaan memandang serius isu jaminan makanan negara, serta mengkaji semula keberkesanan 72 tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) milik negara.

“Kerajaan perlu mengkaji semula keberkesanannya dan tamatkan kontrak sewa pengusaha yang tidak berdaya saing serta tidak mengusahakan tanah itu sendiri.

“Kontrak sewa patut diberikan kepada petani-petani yang tulen bagi meningkatkan pengeluaran makanan,” tegasnya.

Post a comment

0 Comments