Aminuddin yakin HARAPAN Negeri Sembilan tetap utuh


MENTERI  Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yakin pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) di negeri itu akan terus utuh.

Bercakap dalam satu sidang media di kediaman rasminya, Aminuddin menegaskan bahawa beliau yakin insiden ADUN lompat parti seperti berlaku di Kedah tidak akan berlaku di negeri itu.

Tambah ADUN Sikamat itu, beliau percaya tiada  wakil rakyat di negeri itu akan mengkhianati mandat yang diberi oleh rakyat sehingga memberi kemenangan kepada HARAPAN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya serah pada ALLAH SWT sebab saya yakin dengan semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) HARAPAN yang akan pertahan kerajaan negeri yang dipilih rakyat. Itu saya yakin.

"Mereka tidak khianati HARAPAN khusus pengundi yang memberi undi kepada mereka," tegasnya.

Sementara itu, Aminuddin turut mahu pengundi menilai sendiri tindakan dilakukan beberapa pemimpin yang mengkhianati mandat diberikan rakyat.

"Bila mereka sudah dipilih oleh rakyat dan tiba-tiba hari ini hak rakyat yang pilih mereka pula dinafikan.

"Bagi saya ini satu pengkhianatan amat besar dan tidak harus berlaku dan dibiarkan. Jadi saya minta pengundi nilailah sendiri," jelasnya.

Tambah Aminuddin, sekalipun mereka mampu membayar saman kerana melompat parti, namun ia bukan nilai kepada perjuangan.

"Mereka bertanding atas tiket PKR, walaupun RM10 juta atau RM20 juta mereka mampu bayar. Tapi itu bukan nilai perjuangan.

"Nilainya adalah bila mereka pegang panji KEADILAN ketika bertanding dan harus akur dengan parti," ujarnya.

Post a comment

0 Comments