AMK Pulau Pinang gesa Afif berhenti sandiwara


ANGKATAN
Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membidas tuduhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Afif Bahardin yang menyifatkan tindakan menyingkirkannya ke blok pembangkang sebagai berat sebelah.

Ketuanya, Fahmi Zainol memberi amaran kepada Afif supaya berhenti bermain politik murahan dan tidak memanipulasi keputusan itu untuk meraih simpati dan mengelirukan orang ramai.

Fahmi turut mengingatkan Afif bahawa kedudukan sebagai wakil rakyat dinikmatinya adalah diatas tiket Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dimana dia bertanding di kawasan kubu kuat Presiden parti itu sendiri.

"Sudah tentu beliau tahu yang kemenangannya sebelum ini dengan majoriti pengundi yang membuat pilihan atas dasar parti bukan individu.

"Kawasan Seberang Jaya juga di bawah Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat KEADILAN bermula daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Beliau perlu sedar kalau bukan kerana KEADILAN, beliau bukan sesiapa hari ini.

"Afif tidak sepatutnya menyebelahi atau bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) kerana tindakannya itu bukan sahaja tidak demokratik malah mengkhianati amanat parti," kata mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dalam satu kenyataan.

Sebagai rekod, status keahliannya Afif dalam KEADILAN kini digantung menunggu pendengaran Lembaga Disiplin.

Beliau antara beberapa pemimpin parti itu, termasuk bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamaruddin, dikatakan terbabit dalam “Langkah Sheraton” yang akhirnya menyebabkan pertukaran kerajaan persekutuan.

Afif juga didakwa sebagai individu penting disebalik NGO Pemuda Negara dan Penggerak Muafakat Nasional (Penggerak ZK-Zuraida Kamarudin) yang jelas cenderung kepada PN.

Sementara itu, Fahmi turut menempelak kenyataan Afif yang seolah-olah tidak tahu sebab beliau dikenakan tindakan gantung keahlian dalam KEADILAN

Beliau berkata, sekiranya betul Afif istiqamah dalam berkhidmat seperti didakwanya, Afif sepatutnya bersama-sama menjunjung perjuangan KEADILAN sebagai institusi kepartian yang beliau sertai walaupun terpaksa berdepan keadaan sukar.

"Namun beliau lebih suka untuk berada dalam kluster kayangan yang merosakkan parti dan membelakangkan dasar kerajaan negeri.

"Berhenti dengan sandiwara politik murahan atau rakyat akan menghukum kamu tidak lama lagi," tegas Fahmi.

Post a comment

0 Comments