Amnesty International kecam ancaman menteri


AMNESTY International Malaysia mengecam ancaman Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk  menggunakan segala peruntukan undang-undang - termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan - terhadap mereka yang dianggap kerajaan sebagai menyebarkan "berita palsu".

Pengarah eksekutif interim pertubuhan hak asasi itu, Preethi Bhardwaj berkata, ancaman dikeluarkan Hamzah Zainuddin itu dibimbangi bertujuan untuk menutup mulut pengkritik.

Ia tegas mereka menunjukkan pentadbiran Muhyiddin tidak menghormati kebebasan bersuara warga.

"Ancaman untuk terus menggunakan peruntukan yang menindas yang membataskan kebebasan bersuara warga menunjukkan kerajaan membelakangi kebebasan bersuara.

"Ada ancaman sebenar bahawa undang-undang ini boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk menutup pandangan berbeza dan kritikan terhadap kerajaan.

"Undang-undang yang menjadikan amalan kebebasan bersuara sebagai jenayah kasar dan kabur, dan tiada tempat dalam masyarakat," katanya.

Hamzah pada Khamis berkata KDN memandang serius penyebaran berita palsu berbaur hasutan. Tegasnya, pihak kementerian  tidak akan teragak-agak untuk menggunakan segala peruntukan perundangan sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 termasuk Akta Hasutan 1948.

Bhardwaj bagaimanapun membangkitkan beberapa kes mutakhir ini di mana individu dikenakan tindakan kerana menyuarakan pandangan di media sosial, termasuk mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan atas kesalahan menerbitkan kenyataan dengan niat menyebabkan ketakutan awam.

Maklum akan kepentingan usaha melawan penyebaran maklumat salah ketika pandemik, Bhardwaj bagaimanapun menekankan batas kebebasan bersuara perlu "wajar dan berkadar" untuk perlindungan kesihatan awam.

Katanya, ia perlu dilakukan berdasarkan undang-undang yang jelas, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kurang dalam aspek itu.

"Larangan berdasarkan istilah tidak jelas seperti 'salah maklumat' dan 'berita palsu' tidak perlu dalam melindungi kesihatan awam dan justeru tidak selari dengan hak bersuara.

"Cara terbaik untuk menangani salah maklumat ialah melalui sistem maklumat yang tepat yang membawa kepada peningkatan kepercayaan awam terhadap kerajaan," katanya lagi.

Post a comment

0 Comments