Anggota APM maut ke tempat kerja


SEORANG anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja maut terbabit dalam kemalangan.

Mangsa dikenali sebagai Nurul Ain Natasha Mazlan, 26 disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa yang menaiki sebuah kereta jenis Iswara bersama rakannya terbabas dan merempuh sebuah kenderaan di Jalan Jenderam/Salak hala ke Salak Tinggi semalam.

"Semasa melalui kawasan terbabit, kereta yang dipandu rakan mangsa berusia 22 tahun hilang kawalan di laluan selekoh menyebabkan kereta tersebut terbabas masuk ke lorong bertentangan.

"Kemudian datang sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang wanita berusia 35 tahun gagal mengelak sebelum melanggar kereta mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan Nurul Ain Natasha parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya yang juga anggota APM dilaporkan cedera di kepala dan tangan.

Katanya, pemandu Proton Saga pula dilaporkan stabil selepas hanya mengalami kecederaan di bahagian pinggang.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat," tambahnya.

Difahamkan, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a comment

0 Comments