Anwar imbau pertelagahan dalam mesyuarat


RAKAMAN
audio mesyuarat Pakatan Harapan (HARAPAN) diadakan pada Februari lalu yang menyaksikan menteri dan pemimpin parti dalam HARAPAN bertelagah  berhubung tempoh Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri tulen.

Ia disahkan sendiri Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadiri sendiri mesyuarat berkenaan.

“Memang tepat apa yang disuarakan itu bukan palsu, memang berlaku begitu dan saya tidak fikir ia berlaku tanpa perancangan baru," tegas Anwar sambil mendakwa ada dalang yang menyebabkan berlaku kekecohan dalam mesyuarat berkenaan.

Kekecohan dalam mesyuarat tersebut jelasnya dirancang apabila beberapa pemimpin PPBM dan bekas KEADILAN membuat bantahan jika isu peralihan kuasa dibangkitkan.

“Disebut mulanya setahun, 2 tahun, kemudian lepas Apec, saya setuju semua, itupun tidak memuaskan hati golongan ini.

"Ada kakak itu sebut kalau boleh biarlah (Mahathir) selamanya, ini putar belit politik, paling rendah dan jijik dalam sejarah,” katanya dipercayai merujuk kepada bekas ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.

“Bila dalam mesyuarat itu, beberapa orang PPBM dan pengkhianat dalam KEADILAN merancang membuat gesaan yang keras membantah apa-apa pandangan tentang transisi menyebabkan beberapa teman kita dari Amanah, KEADILAN dan DAP bersuara.

“Ye kita sokong Tun Mahathir sebagai perdana menteri, tapi kita ada perjanjian, ini dari 1 tahun, ke 2 tahun, lepas Apec, lepas itu 3 tahun kemudian sampai bila-bila.

"Ia bertentangan dengan perjanjian, itu mengkhianati perjanjian, bukan sahaja kepada kertas HARAPAN tapi kepada rakyat,” katanya.

Anwar ambil jalan damai
Sebelum ini tersebar rakaman audio selama 2 mesyuarat Majlis Presiden pada 21 Feb lalu menunjukkan 2 puak, 1 bertegas tempoh jelas untuk Mahathir memberi laluan kepada Anwar dan 1 lagi kumpulan berpendapat perbincangan peralihan kuasa menjejaskan kredibiliti HARAPAN.

Dua pemimpin yang paling lantang membantah sebarang tindakan mengehadkan tempoh jawatan Mahathir ialah Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Presiden KEADILAN ketika itu, Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu Anwar menjelaskan, selepas perbalahan begitu panjang dalam mesyuarat itu, beliau akhirnya mengambil jalan tengah dan menyerahkan kepada Mahathir bila beliau mahu menyerahkan jawatan.

“Saya dengar panjang lebar, bertelagah dan sebagainya waktu itu dan saya tahu sandiwara politik itu, saya lama dalam politik saya dapat baca ini orang nak cari alasan terutamanya dalam PPBM dan kumpulan pengkhianat untuk kata mereka tak setuju dan keluar (HARAPAN).

"Saya dapat baca maka saya konsisten dengan sikap saya, saya kata tak perlu berebut, kita runding, jadi saya ambil keputusan serah kepada Mahathir.

“Kemudian saya disergah termasuk dari teman-teman dari PH termasuk DAP, Amanah dan KEADILAN, mereka kata Anwar apa ini kita sudah putus selepas Apec tapi kenapa pilih lepas begitu," katanya.

Anwar menjelaskan, keputusan beralah diambil bagi mengelak perpecahan dan mengelak dari isu itu dimanipulasi  pihak yang dakwanya pengkhianat menggunakan alasan tersebut untuk bertindak keluar dari gabungan itu. 

'Tapi namanya pengkhianatan, buat cara baik macam mana dia khianat juga, kerana rencana mereka bukan nak selamatkan Mahathir tapi menyelamatkan mereka dengan khianat kepada HARAPAN untuk dapat tempat,” katanya.

Sebagai rekod, Zuraida kemudiannya bersama beberapa bekas pemimpin KEADILAN termasuk Mohamed Azmin Ali meninggalkan KEADILAN dan HARAPAN untuk membentuk kerajaan baharu melalui 'langkah Sheraton' bersama Muhyiddin Yasin serta pemimpin Umno dan PAS.  

Kedua-dua mereka antara paling lantang membuat kenyataan mahu Mahathir terus mentadbir negara hingga akhir penggal sebelum berlakunya insiden politik yang membawa kepada pertukaran kerajaan di Putrajaya itu. 

Post a comment

0 Comments